Thursday, March 10, 2011

GERAKAN ISLAH/TAJDID



Di nusantara wahabi dikenali sebagai Kaum Muda sekitar tahun 1940an. Kaum Muda atau juga dipanggil Gerakan Islah merupakan gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini antaranya termasuklah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Kaum Muda menyampaikan idea mereka dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik dan sosial orang Melayu. Golongan ini juga berusaha menyematkan sikap mengkritik penjajah ke dalam fikiran orang Islam. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan penting dalam memajukan orang Melayu.

Gerakan Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama. Golongan ini telah menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam itu adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardu ain sahaja sehingga amat sukar untuk Kaum Muda mempengaruhi masyarakat Melayu.

Nama-nama yang disebutkan itu pada zaman mereka menghadapi tuduhan yang berbagai terutama di’cop’ sebagai ‘kaum muda’ atau wahabi atau sesat atau menentang mazhab. Usaha-usaha pembaharuan mereka ditentang. Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan Melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Za’ba berkata: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya.

Prof Hamka terkenal sebagai sarjana Nusantara yang besar. Tafsirnya Al-Azhar mendapat mengiktirafan atas keilmuannya. Antara komentar yg terkenal ialah risalah yang ditulisnya mengkritik Mufti Johor ketika itu yang memusuhi Kaum Muda. Antara tegurannya: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor m.s. 48, Selangor: Pustaka Dini, 2009).

Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Fatwa-fatwa mereka hanya dihalakan kepada rakyat dan dilupai kerabat dan pembesar. Dengan itu, mereka dapat mempengaruhi istana agar menghalang perkembangan gerakan pembaharuan. Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatahlagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.

“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua.

Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”. (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 76)

Jika diteliti gerakan Islah(Kaum Muda) bukanlah suatu benda yg asing kerana mereka sendiri mewarisi perjuangan suci dari pejuang2 terdahulu.Selepas kejatuhan Khalifah Usmaniyah, Syeikh Mohd Abduh, Syeikh Rasyid Redho dan Syeikh Jamaluddin Al Afghani mula meniupkan semangat jihad Islam.Hasan Banna pengikut Rashid Redho, menyambung perjuangan gurunya dan perjuangannya itu diteruskan sehingga hari ini oleh pencinta Islam

Syeikh Muhammad Abdul Wahhab

· 1115 H/1703 M – 1206 H/1791M

· Dilahirkan di Uyainah, Riyadh

· Bermazhab Hanbali

· Karya: Tauhid,Usul Iman,Thalasah Al Usul,Kashfu Syubuhat

· Sumber pemikiran: Manhaj Salaf, banyak merujuk kitab Imam Hanbali, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim.

· Manhaj Aqidah: Rububiyyah,Uluhiyyah,Asma’ Was Sifat

Apabila diteliti jelaslah Syeikh merupakan tokoh besar dalam menghidupkan sunnah dan membanteras amalan bid’ah dan khurafat.

1)Dr Yusuf Qardhawi: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (Fiqh Al Aulawiyat m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).

2)Dr Wahbah Zuhaili: bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

WAHABI WAHABI WAHABI

Wahabi atau Wahabiyyah adalah gelaran yang diberikan oleh musuh-musuh Ahli Sunnah dengan tujuan untuk menggagalkan usaha mereka menegakkan Sunnah Nabi s.a.w. Gelaran ini pada mulanya dicetuskan oleh pendukung khurafat dlm kalangan orang Islam sendiri yang tidak bersetuju dengan pegangan Muhammad Abdul Wahhab rahimahullah itu.Kesempatan ini diambil oleh pihak penjajah Inggeris untuk memburuk-burukkan gerakan dakwah Muhammad Abdul Wahhab di Saudi.

Buktinya, Inggeris pernah menggunakan istilah Wahabi ke atas para ulama Deoband (pendukung Sunnah) yang menentang penjajahan mereka di India.[1] Sedangkan para ulama berkenaan tidak ada hubungan langsung dengan Muhammad Abdul Wahhab rahimahullah, melainkan hubungan secara kebetulan dalam bentuk kesatuan manhaj kerana mereka berpijak di atas landasan Sunnah yang sama. Ini bermakna gelaran itu sengaja dipopularkan oleh pihak kolonialis barat untuk memburuk-burukkan sebarang gerakan yang mengancam mereka.[2]

Kembali kepada persoalan di atas, kenapa pula ada usaha dari pihak orang Islam sendiri untuk memomok-momokkan gerakan dakwah islah Muhammad Abdul Wahhab? Jawapannya, persepsi negatif sesetengah pihak terhadap gerakan tersebut berlaku hanya disebabkan oleh dua faktor:

  • Kejahilan mereka tentang pegangan Muhammad Abdul Wahhab rahimahullah yang sebenar, sedangkan pegangannya itu adalah juga pegangan sebenar Ahlul Sunnah Wal Jama'ah
  • Sebahagian amalan yang dilihat sebagai bid’ah dan khurafat oleh Muhammad Abdul Wahhab rahimahullah, tidak dianggap sedemikian oleh pihak-pihak yang memusuhinya _________________________________________________________

    (1) Muhammad Ibn Manzur An-Nu’mani, Di’ayat Mukaththafah Did Syeikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Majalah Al-Muqtataf, vol: 27, ms. 95, Dalam: ‘Abd Al-’Aziz Ibn Muhammad Ibn ‘Ali Al-’Abd Al-Latif, Da’awa Al-Munawi’in Li Dawah Asy-Syeikh Muhammad Abdul Wahhab ‘Ard Wa Naqd, Dar Taibah, Riyadh, Arab Saudi, 1989, ms. 240.

    (2) Penggunaan istilah (Wahabi) ini oleh Kapten Forster Sadler (pihak Inggeris) ke atas gerakan Muhammad Abdul Wahhab menunjukkan bahawa ia adalah istilah ciptaan musuh untuk memburuk-burukkan imej gerakan Islam