Thursday, March 10, 2011

GERAKAN ISLAH/TAJDID



Di nusantara wahabi dikenali sebagai Kaum Muda sekitar tahun 1940an. Kaum Muda atau juga dipanggil Gerakan Islah merupakan gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini antaranya termasuklah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Kaum Muda menyampaikan idea mereka dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik dan sosial orang Melayu. Golongan ini juga berusaha menyematkan sikap mengkritik penjajah ke dalam fikiran orang Islam. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan penting dalam memajukan orang Melayu.

Gerakan Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama. Golongan ini telah menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam itu adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardu ain sahaja sehingga amat sukar untuk Kaum Muda mempengaruhi masyarakat Melayu.

Nama-nama yang disebutkan itu pada zaman mereka menghadapi tuduhan yang berbagai terutama di’cop’ sebagai ‘kaum muda’ atau wahabi atau sesat atau menentang mazhab. Usaha-usaha pembaharuan mereka ditentang. Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan Melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Za’ba berkata: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya.

Prof Hamka terkenal sebagai sarjana Nusantara yang besar. Tafsirnya Al-Azhar mendapat mengiktirafan atas keilmuannya. Antara komentar yg terkenal ialah risalah yang ditulisnya mengkritik Mufti Johor ketika itu yang memusuhi Kaum Muda. Antara tegurannya: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor m.s. 48, Selangor: Pustaka Dini, 2009).

Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Fatwa-fatwa mereka hanya dihalakan kepada rakyat dan dilupai kerabat dan pembesar. Dengan itu, mereka dapat mempengaruhi istana agar menghalang perkembangan gerakan pembaharuan. Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatahlagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.

“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua.

Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”. (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 76)

Jika diteliti gerakan Islah(Kaum Muda) bukanlah suatu benda yg asing kerana mereka sendiri mewarisi perjuangan suci dari pejuang2 terdahulu.Selepas kejatuhan Khalifah Usmaniyah, Syeikh Mohd Abduh, Syeikh Rasyid Redho dan Syeikh Jamaluddin Al Afghani mula meniupkan semangat jihad Islam.Hasan Banna pengikut Rashid Redho, menyambung perjuangan gurunya dan perjuangannya itu diteruskan sehingga hari ini oleh pencinta Islam

No comments:

Post a Comment