Thursday, February 3, 2011

HAL-HAL YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH MUSLIMAH YANG SEDANG HAIDH

Membaca Al-Qur’an: “Sejak asal tidak ada larangan daripada al-Sunnah (bagi wanita yang sedang haidh). Hadith: “Wanita haidh tidak boleh membaca sesuatu daripada al-Qur’an” adalah hadith yang dhaif yang disepakati oleh para ahli hadith. Maka jika haram ke atas mereka untuk membaca al-Qur’an sepertimana haram ke atas mereka mendirikan solat, nescaya ia diterangkan oleh Nabi kepada umatnya dan dipelajari oleh para isteri baginda.

Berkata Imam al-Nawawi dalam kitabnya Majmu’ Syarhu Muhazzab jilid 2 m/s 123-125: Adapun hadith Ibn Umar: Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid, maka ia diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadith yang dhaif, didhaifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedhaifan yang terdapat padanya adalah jelas.”

Sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haidh membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan (dianalogikan/disamakan) kepada keadaan junub (berhadas besar disebabkan persetubuhan). Namun pandangan ini dianggap tidak tepat kerana: Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat).Apabila zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haidh daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum baru. Haidh dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan dimana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada di dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib dan tayammum. Berbeza halnya dengan haidh, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.

Masuk masjid: Bahawa A’isyah haidh sewaktu melaksanakan haji, Rasulullah membolehkannya melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang berhaji dan tidak melarangnya kecuali mengerjakan tawaf di Baitullah. Hal ini menunjukkan bahawasanya ia boleh masuk masjid seperti yang dilakukan jamaah haji lainnya. Sila lihat Shahih al-Bukhari, no. 1650. Hadith dari A’isyah, ia mengatakan: “Rasulullah berkata kepadaku: Ambilkan untukku selendang di dalam masjid. Aku berkata: Aku sedang haid. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya haidmu bukanlah pada tanganmu. - H/R Muslim, no. 298, Abu Daud, no. 261, at-Tirmidzi, no. 134 dan al-Nasa’i 2/192. Hal ini mengisyaratkan bahawasanya selendang itu berada di dalam masjid. Namun Nabi s.a.w tetap memerintahkan A’isyah yang sedang mengalami haid itu untuk mengambil selendang itu.

TAMBAHAN:Pendapat mutaakhir membenarkan orang yang tidak berwuduk untuk memegang Quran(Albani, Tamamul Minnah)(Qardhawi,Fiqh Taharah)

No comments:

Post a Comment